Biografi Maskiran Jakiran

Kieran dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur kepada pasangan Jakiran Jachomah Ali dan Kamariah Akbar.[2] Ibu bapanya bercerai ketika Kieran berusia 6 bulan. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang, Selangor. Seterusnya meneruskan pendidikan menengahnya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuantan, Pahang.[2] Kieran kemudiannya menuntut di MRSM Kertih, Terengganu ketika di tingkatan tiga dan MRSM Muar, Johor dari tingkatan empat hingga lima. Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1992, Kieran mendapat tawaran daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di luar negara.[2]

Bagaimanapun, beliau terpaksa menolak tawaran tersebut atas sebab-sebab tertentu. Keadaan itu menyebabkan permohonan untuk menyambung pelajaran di universiti awam tempatan dipandang sepi. Kieran kemudiannya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang akauntan di Institut Profesional Baitulmal di Kuala Lumpur. Permohonan itu berjaya dan Kieran menamatkan pengajian di institut itu tiga tahun kemudian.[2]

Berbekalkan kelulusan sedia ada, Kieran memohon untuk bekerja di Rating Agency Malaysia Berhad (yang kini dikenali sebagai RAM Holdings Berhad). Pada waktu itu, jawatan yang dipohon adalah pegawai perhubungan awam (PRO). Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana merasakan jiwanya tidak begitu serasi di pejabat.[2]

Kieran berkhidmat sebagai penyampai radio Era FM dan mengendalikan segmen Pagi Di Era bersama Khairil Rashid selama sembilan tahun. Pada 2008, beliau berpindah ke stesen radio Hot FM dan mengendalikan beberapa segmen termasuk Hot FM AM Pagi Krew dan Hot FM Jam. Selepas lapan tahun berkhidmat di Hot FM, Kieran mengambil keputusan berhenti pada 12 Disember 2014 kerana merasakan dirinya "sudah tidak sesuai lagi" di Hot FM.[3]

Kieran paling dikenali menerusi gandingannya bersama Fouziah Gous dalam rancangan Roda Impian yang pernah bersiaran di TV3 pada 2009.[4]

Beliau juga diberi kepercayaan sebagai pengulas Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea pada pertengahan September 2014. Selain itu, beliau juga mengusahakan produk makanan sejuk beku, Kieran’s Food Products.

Sejak Januari 2015, beliau berkhidmat sebagai penyampai radio Sinar FM.[5]